Kisah Seorang Lelaki Biasa Yang Mahu Jadi Rakan Kongsi Thomas A. Edison

Assalamualaikum.


Apa khabar pembaca blog nooraziemah.blogspot.com? Saya doakan semoga anda semua sihat sejahtera, Allah permudahkan segala urusan anda di dunia dan di akhirat. InsyaAllah.

Baru-baru ini, saya ada singgah sebuah kedai buku dan terjumpa sebuah buku bertajuk Think and Grow Rich (Edisi Bahasa Melayu) yang ditulis oleh Napoleon Hill. Belek punya belek, akhirnya saya beli buku tersebut.


Think and Grow Rich



Saya baru baca beberapa muka surat tapi kandungan dia sangat menarik dan memberi motivasi kepada saya. Alhamdulillah, pelbagai ilmu yang saya dapat dari buku tersebut. Penulis banyak berkongsi kisah mereka yang asalnya dari kalangan orang biasa-biasa sahaja tetapi akhirnya menjadi seorang yang luar biasa.

Saya nak berkongsi dengan anda satu kisah tentang seorang lelaki biasa yang mahu menjadi rakan kongsi kepada seseorang yang sudah berjaya dan masyhur iaitu Thomas A Edison.

Hanya Lelaki Gelandangan.
Mesti ramai yang dah kenal siapa Thomas A. Edison kan? Dialah saintis yang sudah berjaya mencipta mentol setelah 10 000x percubaan yang gagal. Setelah berjaya mencipta mentol, dia menjadi popular dan masyhur sebab ciptaan dia dah berjaya menyenangkan kehidupan masyarakat ketika itu.


Thomas Edison Yang Popular Dengan Ciptaan Lampunya

Disebalik kisah kejayaan Edison, ada kisah seorang lelaki yang tidak dikenali ramai. Namanya Edwin C. Barnes, dia seorang yang biasa-biasa, hidup tidak ubah seperti gelandangan.

Tapi, Barnes ada satu kemahuan. Dia nak bekerjasama dengan Edison. Dia nak jadi rakan kongsi Edison. Dia bukan nak bekerja untuk Edison tapi bekerja bersama Edison.

Masalahnya, Edison bukannya kenal Barnes pun, dan masalah kedua dia tak ada wang yang cukup untuk pergi ke Orange, New Jersey, iaitu wilayah dimana beradanya Edison.

Tetapi sebab kemahuan dia untuk menjadi rakan kongsi Edison sangat tinggi, beliau nekad mencari jalan untuk meneruskan kemahuannya. Sehingalah beliau buat keputusan untuk naik kereta api sahaja ke sana.

Bertemu Edison
Sampailah saat Barnes berdiri di hadapan Edison, beliau menyatakan hasratnya untuk bekerja bersama-sama Edison. Walaupun ketika itu penampilannya seperti orang yang merempat ditepi jalan, tetapi semangatnya yang berkobar-kobar untuk bekerja dengan Edison terpancar diwajahnya waktu itu.

Edison yang 'nampak' akan semangat Barnes mengambil beliau untuk bekerja di pejabatnya.

Sewaktu perjumpaan pertama mereka ini, Barnes tidak dapat menjadi rakan kongsi Edison, sebaliknya beliau hanya bekerja di pejabat terebut dengan gaji yang paling kecil di samping membuat kerja-kerja yang tidak penting.

Tetapi, Barnes tetap melihat pekerjaannya sebagai sesuatu yang penting. Semua itu memberi peluang kepada beliau untuk menunjukkan 'kebolehannya' di hadapan bakal rakan kongsinya.

Ciptaan Terbaru Edison.
Walaupun 5 tahun telah berlalu dan cita-citanya masih belum tercapai, Barnes tidak berputus asa. Dia tak pernah terlintas pun untuk mencari pekerjaan lain walaupun impiannya kelihatan mustahil.

Suatu hari, Edison mencipta sebuah alat yang dapat digunakan di pejabat, iaitu alat perakam suara yang dipanggil Edifon. Jurujual yang ditugaskan untuk menjual di syarikat tersebut tidak begitu yakin dapat menjual alat tersebut. Mereka tidak percaya alat itu dapat dijual dengan mudah.

Berbeza dengan Barnes, beliau melihat perkara itu sebagai peluang. Peluang yang tidak kelihatan oleh mata kasar, tetapi tersembunyi di sebalik sebuah mesin yang pelik. Peluang itu tidak menarik minat sesiapapun kecuali Barnes dan inventor nya, Edison.

Barnes tahu beliau dapat menjual alat perakam itu. Beliau menawarkan diri untuk menjual alat tersebut lalu berjaya menjualnya. Akhirnya beliau benar-benar berjaya menjual alat itu.

Malah, beliau memperoleh keuntungan yang sangat tinggi sehingga Edison menandatangani kontrak dengan beliau bagi mengedar dan memasarkan alat tersebut ke seluruh dunia.

Hasil daripada kerjasama itu, muncul slogan "Dibuat oleh Edison dan Dipasar oleh Barnes"


Slogan Kerjasama Antara Edison dan Barnes


Perkongsian itu bukan sahaja menjadikan Barnes kaya, tetapi beliau mencapai sesuatu yang lebih besar nilainya. Beliau membuktikan seseorang dapat "berfikir dan menjadi kaya".

Kuasa Sebuah Fikiran
Barnes benar-benar membayangkan diri beliau menjadi rakan kongsi Edison, iaitu seorang inventor yang hebat pada ketika itu. Beliau membayangkan kekayaan. Pada mulanya, beliau langsung tidak mempunyai apa-apa.

Beliau hanya ada kemahuan, lalu bertekad mempertahankan kemahuan itu sehingga menjadi kenyataan.

Hakikatnya, beliau adalah seorang pemuda yang miskin dan tidak mempunyai harta. Beliau tiada pendidikan tinggi, tiada pengaruh daripada mana-mana pihak. Tetapi beliau ada inisiatif, kepercayaan dan kemahuan untuk menang. Dengan ketiga-tiga kekutatan itu, beliau berjaya menjadi nombor satu bersama inventor yang terhebat dan termasyhur sepenjang zaman.

Semoga kisah ini memberi inspirasi kepada anda semua. Jangan takut untuk berimpian. Sebab mimpi adalah kunci utama untuk mencapai kejayaan. Bila mimpi itu disokong dengan kepercayaan dan kuasa sebuah tindakan yang berterusan, anda hanya selangkah lagi menghampiri kejayaan anda.

Salam kejayaan,

Noor Aziemah :D




Post a Comment

0 Comments